
INDIVIDU bernama Owen Yap Khiam Hong atau lebih dikenali Owen, 36, sering muncul di kaca televisyen sebagai pembaca berita Mandarin saluran 8TV.
Meskipun sibuk dengan tugasan harian yang padat apatah lagi turut bergelar seorang model terkenal, Stailo berjaya menjejaki Owen untuk ditemu bual.
Seorang yang ringkas dan tidak rumit, Owen terus menetapkan hari yang sesuai untuk bertemu.
Kesibukan berulang-alik dari Seremban ke Kuala Lumpur setiap hari tidak menghalang anak kedua daripada tiga beradik ini untuk terus mendisiplinkan diri sehingga hari ini.
"Setiap hari saya akan ke Kuala Lumpur kerana kesemua tugasan memerlukan saya datang ke sini. Jadi, disebabkan saya banyak melakukan kerja, masa bagaikan emas. Jarak perjalanan dari tempat tinggal ke tempat kerja yang jauh memerlukan saya bijak untuk mengatur jadual.
"Lagipun saya memang tidak suka terlewat dalam apa juga temu janji. Saya tidak suka menunggu. Sebab itulah saya faham keperitan apabila individu lain terpaksa menanti kehadiran saya," katanya yang tiba di studio Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur 30 minit lebih awal daripada waktu yang ditetapkan.
Dunia glamor
Berjalan memasuki pekarangan Utusan Melayu sambil membimbit dua beg pakaian, Owen terlebih dahulu melakukan persediaan awal dengan mendapat tajaan pakaian daripada Brook Brothers bagi menepati konsep sesi fotografi pada hari itu.
Hanya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menukar persalinan santai kepada sut, Owen bersedia untuk bergaya di hadapan lensa kamera. Tanpa memerlukan tunjuk ajar untuk memberi gaya macho, Owen dilihat begitu berpengalaman.
Malah, dia yang tidak cerewet dan mudah mesra, jelas sekali seorang lelaki yang mudah didampingi. Lantaran itu, proses sesi fotografi yang dijalankan berlangsung tanpa sebarang kesulitan dan selesai dalam tempoh 30 minit bagi tiga persalinan.
Sudah hampir empat tahun bergelumang dengan dunia peragaan, Owen mengakui dirinya bukan seorang model profesional. Tidak pernah mengikuti sebarang kelas peragaan, dia lebih banyak belajar menerusi pemerhatian terutama ketika menghadiri acara pertunjukan fesyen.
"Peragawati terkenal Amber Chia antara individu yang pernah mengajar saya cara untuk berjalan di atas pentas. Lagipun, dia pernah menasihati saya supaya tidak gugup memandangkan model lelaki tidak memerlukan banyak pergerakan.
![]() |
OWEN tidak pernah menghadiri kelas peragaan secara khusus. |
"Lainlah dengan peragawati wanita yang memerlukan perhatian lebih kerana mereka memakai kasut bertumit tinggi," ungkapnya sambil menyimpan kasut jenama Emporio Armani di dalam sarung yang telah dikhaskan.
Setiap kali memperagakan fesyen, fikirannya tidak begitu tertumpu kepada penonton. Sebaliknya, Owen sedaya-upaya mengingati setiap penanda yang diletakkan di atas pentas untuk tujuan berhenti dan meneruskan peragaan.
"Itulah yang saya maksudkan sebagai saya bukan model profesional. Sebabnya saya sentiasa kena ingat penanda untuk berhenti. Namun, saya akan pastikan saya tidak mengecewakan pelanggan yang sudi mengambil khidmat saya untuk memperagakan pakaian mereka," seloroh Owen yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Antara jenama terkenal yang pernah diperagakan oleh anak kelahiran Melaka itu ialah Marlboro Classic, DKNY, Marc Jacobs, Hugo Boss dan Ted Baker.
Selain menjadi model di pentas peragaan, wajah tampan Owen juga laris sebagai jurucakap untuk produk-produk komersial yang lain seperti komputer riba Toshiba, Nescafe, telefon bimbit HTC, Biogreen dan pendingin hawa LG.
Sinar dunia peragaan yang telah melonjakkan nama Owen bermula apabila dia memasuki bidang pengacaraan. Tawaran yang diperoleh pada awalnya sukar untuk diterima memandangkan dia seorang yang pemalu.
Bagaimanapun, setelah difikirkan semasak-masaknya, dia bersedia dan menganggap tawaran berhubung kerja tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Pintu rezeki tidak dijangka itu mungkin menjadi satu permulaan untuk mengumpul pengalaman baru dan punca pendapatan.
"Apabila seseorang menawarkan anda sesuatu pekerjaan, jangan sia-siakan peluang itu asalkan pekerjaan itu baik dan menjanjikan kehidupan yang lebih senang. Konsep sebegini yang sering saya amalkan," ujarnya yang cukup teliti menyusun patah perkataan dalam bahasa Melayu.
Pernah ditegur
Rancak berborak, Owen tidak keberatan untuk berkongsi pengalamannya ketika pertama kali berada di pentas peragaan. Sambil tergelak kecil kerana terkenang kisah lalu, Owen memberitahu dia pernah dimarahi kerana melanggar peraturan.
Menurutnya, setiap langkah di atas ruang peragaan ada tempoh masa yang ditetapkan iaitu bermula dari belakang pentas sehinggalah di hadapan tatapan penonton.
"Kita kena cepat dan tidak boleh bersuka ria. Tetapi pada suatu hari saya melanggar peraturan kerana melangkah dua anak tangga sedangkan perlu naik satu persatu.
"Apabila selesai latihan, saya ditegur kerana tidak mengikut arahan. Dalam hati saya ketika itu macam mana orang lain boleh nampak saya langkah terus dua anak tangga," cerita Owen sambil menghirup minuman panas.

Bukan itu sahaja, satu insiden lampau masih segar dalam ingatan lelaki berketinggian 183 sentimeter (sm) ini. Kejadian memalukan itu berlaku apabila Owen gagal menjumpai bilik persalinan untuk menukar pakaian yang ingin diperagakan.
"Setiba di tempat pertunjukan fesyen, saya mula tercari-cari bilik persalinan di belakang pentas. Rupa-rupanya pihak penganjur memang tidak menyediakan bilik khas untuk tukar pakaian.
"Patutlah saya tengok model lain tidak kira lelaki atau perempuan selamba tukar baju di situ sahaja. Susah juga nak biasakan sebab saya pemalu tetapi lama kelamaan terpaksa tempuh jua," terangnya.
Sarapan dengan ibu
Sebagai anak tunggal lelaki dalam keluarga, secara naturalnya Owen menerima tanggungjawab untuk menjaga ibunya, Koh Poh Choo yang berusia 68 tahun. Dia yang menetap bersama ibu kesayangannya itu di Seremban bangun seawal pukul 7.30 pagi setiap hari sama ada mempunyai tugasan luar ataupun tidak.
Tindakannya itu sebenarnya bersebab. Owen ingin meluangkan masa dan bersarapan bersama ibu sebelum wanita itu keluar bekerja.
"Kalau tidak bangun awal memang satu hari saya tidak akan berjumpa dengan emak. Malam saya balik pastinya emak sudah masuk tidur. Jadi bersarapan bersama merupakan aktiviti yang wajib dilakukan," katanya.
Dari segi penjagaan penampilan pula, dia yang sering menjadi tumpuan masyarakat hanya mengamalkan gaya hidup ringkas. Dia juga tidak pernah berkunjung ke gim kerana kesuntukan masa.
Justeru itu, Owen hanya melakukan senaman ringkas dan berjoging di sekitar rumah sebelum keluar memulakan kerja. Meskipun begitu, dia yang mempunyai tabiat pemakanan pada sebelah malam masih memiliki badan seberat 77 kilogram (kg). Jadi, senaman bangkit tubi dilakukan Owen bagi mengimbangi tabiat pengambilan makanannya.
"Balik rumah lepas kerja memang emak akan sediakan makanan. Saya akan makan tetapi akan terus buat senaman supaya peluh keluar.
"Biasanya itulah rutinnya jika saya makan pada sebelah malam," ungkapnya.
![]() |
SENYUMAN manis Owen mencairkan hati banyak wanita. |
Ditanya pula, adakah dia mengamalkan petua tradisional memandangkan susuk tubuh dan wajahnya dilihat lebih muda daripada usia.
Lantas, Owen memberitahu, perkara paling penting yang sekian lama diamalkannya ialah memastikan cukup tidur, sentiasa gembira dan minum air kosong.
没有评论:
发表评论